Wednesday, April 14, 2010

Atma, Dahulukan Makna!

Atma,

Cuaca di Utara panas terik. Jika kau mahu cepat keringkan rambut, datanglah ke sini. Pasti sekejap sahaja rambutmu yang basah menjadi kering tanpa perlu kepada pengering rambut, atau susah-payah menggonyoh tuala.

Atma, aku tahu kau masih belum lelap pada jam 1.05 pagi ini. Temankan aku?

Sebenarnya begini. Aku rasa mahu menulis, tetapi tidak tahu apa yang harus ditulis. Sungguh. Fikiran ini ternyata bukan kosong, tetapi terlalu banyak yang tindih-menindih dan timbun-menimbun sehingga tiada upaya mencari jawaban bagi soalan; apa yang harus aku tulis? Menurutmu bagaimana?

Atma, aku sedang dengar suara cengkerik-cengkerik mengalunkan zikir. Kita, pada waktu begini sedang berbuat apa?

Aku baru sekejap tadi membaca kembali mesej pesanan ringkas (SMS) yang kuterima lewat bulan lalu daripada seorang teman. Katanya, dia sedang belajar menulis. Sedikit petua yang dikongsikan bersamaku ialah dahulukan makna dalam tulisan, kemudiankan bahasa. Ertinya begini; bahasa akan lahir sejurus adanya makna yang mahu diketengahkan dalam penulisan, tetapi tidak pula bererti bahasa itu dikesampingkan. Katakan saja aku mahu tampilkan makna cinta dalam tulisanku, antaranya berkorban, menerima seadanya dan saling mempercayai, maka pastilah aku akan menulis tentang makna-makna cinta itu dengan bahasa yang sesuai dan indah. Betul atau tidak; kita akan terus sahaja lancar menulis dengan olahan gaya bahasa apa pun sebaik-baik adanya makna?

Menurut temanku lagi; kita sering mengutamakan bahasa berbanding makna, sehingga apa yang ditulis tidak mampu memberikan sebarang manfaat buat orang lain sebagai pembaca. Bermain-main dengan bahasa tanpa adanya suatu nilaian pada makna hanya akan menjadi sia-sia (antara yang tergolong dalam kelompok ini adalah aku!).

Jangan fikirkan kesempurnaan. Tulis dahulu, kemudian perbaiki.” Begitu katanya lagi.

Atma, mata ini masih bulat, meski tidak sebuntang mata bundarmu. Sekejap, aku terganggu oleh bunyi sesuatu yang sedang melanggar siling. Oh, ada serangga kecil bersayap yang sedang terbang berhampiran lampu pendarfluor. Mungkin sedang bertafakur, atau sedang mahu tidur?

Atma, Atma, Atma,

Mataku tiba-tiba memberat…!

Mungkinkah serangga kecil itu telah merebakkan virus mengantuk padaku?

Ohh!

Sunday, April 11, 2010

Demi Malam


“Demi (perhatikan) malam apabila telah diliputi kegelapannya. (Bagaimana keadaan makhluk di saat itu?)

(Surah al-Lail: 1)

Berjalan malam. Lambat-lambat, gontai langkahnya sambil mengandar beg yang sarat. Berat. Belan-belan menapak, bebola matanya tidak langsung diam mencerlung kerudung malam yang hakikatnya hitam, telah disimbahi neon-neon berkelip-kelipan sejak awal senja.

Gamang rasa hatinya sewaktu tujahan-tujahan mata para lelaki Bangladesh, Indonesia, Myanmar, hatta lelaki Melayu ardi sendiri pada batang tubuh dirinya. Bukan dia tidak tahu, tidak baik keluar seorang diri begitu. Tetapi malam itu, rasanya dia tidak dapat mengelak.

Jam 10.00 malam begitu, manusia bagai kelkatu menghurung lampu. Mungkin juga disebabkan keesokannya hari minggu (Sabtu), maka ramai yang mahu mengambil kesempatan bersuka ria.

Dia terpaksa melalui kaki lima berbumbung yang dipenuhi deretan meja makan, dan dibanjiri manusia ramai yang sedang menikmati tauhu bakar dan kerang bakar. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan. Namun, sebaik-baik melintas di hadapan lelaki yang sedang mengipas-ngipas tauhu dan kerang bakar di atas dapur arangnya, dia didesak perasaan untuk mengelih pandang.

‘TAUHU BAKAR. KERANG BAKAR’

Terliur juga tekaknya. Entah kenapa, dia semacam suka melihat panorama itu. Dia akui, kebanyakan pengunjung gerai makan jalanan itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan kecil dan rendah, antaranya pemandu dan konduktor bas, pemandu teksi, juga majoriti adalah warga asing. Suasananya tentu berbeza dengan kelompok yang berada di dalam Ancasa Hotel yang membelakangi gerai-gerai makan kecil itu.

Matanya terus-menerus memerhati malam. Dia mendongak melihat langit kelam. Menara KLCC seperti dihurung kunang-kunang. Berkelip-kelip bercahaya. Lama dia merenung dan mencerlung kelip-kelip itu sehingga hampir tersadung. Mujur dia sengaja berjalan perlahan.

Seorang lelaki dewasa tiba-tiba berjalan di sebelahnya. Dia sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak lelaki kecil yang sedang mengheret beg kecil berodanya.

Dia jadi asyik pula memerhatikan kanak-kanak kecil itu dengan beg berodanya. Sungguh seronok dia.

Bahunya jadi bertambah sengal. Mujurlah destinasinya sudah di hadapan mata.

Dia hanya mahu melihat malam. Malam dengan kesibukan manusia padanya. Demi malam!


Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com