Tuesday, March 23, 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL ’10)


'Rakaman' dibuat pada 21 Mac 2010.

Kira-kira jam 11.00 pagi, tibalah saya dan seorang teman di Putra World Trade Centre (PWTC). Belum pun sempat memasuki pintu belakangnya (melalui jalan pintas), ‘budak-budak’ Celcom dengan baju-T ungunya menyerbu sambil ‘konon’ mahu memberikan kad prabayar percuma. Kami mengangkat tangan tanda tidak mahu.

Telah berjanji dengan seorang ‘pendekar’ untuk menemuinya di situ. Dan dia memberitahu akan menunggu di hadapan eskalator. Hah, itu dia berbaju hitam pendekar! Setelah berbasa-basi, kami bertiga meredah arus manusia yang ramai itu.

“Beruk ada?” soal saya.

Pendekar tersenyum sambil mengiyakan. Pasti menyewah di fikirannya; tidak habis-habis dengan Beruk! Dan dia pun membawa saya ke gerai Al-Ameen Serve Holdings (booth) yang menjual Beruk dan deretan buku-buku lain. Wah, seronok rasa hati setelah dapat memiliki Beruk sendiri!

Wanita muda di situ asyik mempromosikan novel-novel karya Faisal Tehrani kepada kami. Saya buat-buat membelek buku lain (kerana sudah maklum tentang buku-buku yang disebut itu; ‘peminat setia’ pasti akan ambil tahu, malah serba tahu tentang penulis yang digemari), antaranya novel-novel tulisan Isa Kamari, membiarkan pendekar ‘melayan’ bicara wanita itu.

Setelah itu, barulah kami melangkah ke gerai Telaga Biru Sdn. Bhd. (TBSB). Sengaja mahu mencari buku tulisan sendiri; Tawajuh Cinta, setelah petang kelmarin menerima sebuah SMS daripada seorang sahabat, memberitahu bahawa karya saya itu asyik dibelek-belek orang, dan dia berasa cemburu, juga berbangga! (^^,) Lihat di rak, itu dia Tawajuh Cinta! Kebetulan, ternampak seorang gadis remaja mengambil buku itu dan mahu membayarnya. Rasa seronok. Mungkin begitulah rasanya apabila karya dibeli orang.

Sekonyong-konyong, ternampak pendekar mahu membayar harga buku itu, sedangkan dia sudah pun memilikinya. “Ait, kan dah ada?” soal saya, hairan.

“Untuk kawan. Dia pesan.”

“Ohh!”

Dan pendekar meminta izin untuk berlalu seketika menemui kawannya.

Tup tup, terserempak dengan Kak Nisah Haron. Entah. Rasa malu hendak berdepan. Kebetulan, pendekar ada di situ juga. Sedang berbual dengan seorang perempuan. Itulah kawan yang meminta dia membelikan buku tulisan saya itu. Dan mereka sama-sama mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Kami bertegur sapa, dan dia meminta saya menandatangani buku itu.

Langkah masih diteruskan. Banyak buku yang memikat hati, terutamanya di gerai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malang, kali ini, saya terpaksa membutakan mata dan mengutamakan yang ‘utama’. Peruntukan untuk buku sangat terhad, khusus untuk buku-buku ‘terhad’ pula. Justeru, saya hanya mampu memiliki Beruk buat diri sendiri, dan bakinya bakal menjadi milik ‘pemelihara’ tuan Beruk itu sendiri. (^^,)

Destinasi terakhir ialah Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB). Masya-Allah, ramainya orang. Seumpama kelkatu menghurung lampu! Banyak juga buku yang menarik perhatian, antaranya buku-buku terbaru tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Saiful Islam), iaitu Murabbi Cinta dan Secangkir Teh Pengubat Letih. Rangkai kata ‘Secangkir Teh’ itu membuatkan saya rasa seolah-olah mahu terjun ke dalam lautan teh untuk menghirup manisnya! Gelintar juga buku-buku terbitan GISB yang lain, tetapi tidak ditemui.

Saya menyusup di celah-celah orang ramai itu. Berdiri berhampiran dengan kaunter bayaran, dan bertanya: “Novel Surat Ibu dari Penjara ada? Atau masih belum terbit?” Petugas lelaki di hadapan saya menjawab tidak ada. Belum terbit.

“Eh, ada! Dah terbit.” Begitu sampuk seorang perempuan juruwang, lalu menunjuk ke arah buku yang dimaksudkan. Saya sengaja mahu membeli novel itu, di samping jalan ceritanya yang mendidik dan menginsafkan, sebab lain ialah saya yang menjadi penyuntingnya! Jadi, mahu ‘memeriksa’ kualiti suntingan sendiri. Mungkin boleh diperbaiki dari semasa ke semasa untuk masa hadapan.

Ya, tertulis nama saya sebagai penyuntingnya pada halaman pertama buku itu. Saya sangat berterima kasih kepada Saudara Zakaria Sungib, Editor Perolehan dan Kak Ummu Hani, penulisnya sendiri lantaran memberi kepercayaan kepada saya untuk ‘cuba’ menyunting karya terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB).

Terserempak pula dengan Saudara Zakaria Sungib, Editor Perolehan merangkap ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Kami berbual-bual seputar buku, dan beliau mempelawa saya untuk menulis novel dengan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB) pula. “Insya-Allah”, jawab saya. Sebelum ini, Cikgu Wan Zayuhisham, penulis novel awal remaja Impian Juara juga pernah menganjurkan perkara yang sama kepada saya. Begitu juga dengan seorang teman di PTS, baru-baru ini meminta saya menulis kumpulan cerpen untuk syarikat mereka. Hendak tergelak juga. Masalah sekarang bukan penerbit buku, tetapi penulisnya yang sedang kontang idea ini!

Pendekar mencari saya tidak berjumpa. Saya beritahu mahu pulang. Saya pula pergi mencarinya. Itu dia! Setelah merakam sekeping dua pertemuan yang entah bila akan berlaku lagi, kami bubar. Pendekar masih tetap di situ, sabar menunggu penulis pujaannya, Faisal Tehrani pada jam 4.00 petang di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Saya bawa pulang Beruk dan Surat Ibu dari Penjara. Hanya dua itulah milik saya.

Sunday, March 14, 2010

Tekanan Yang Memaknakan


Jikalah aku seorang ‘pemakan’ apabila ditindih tekanan, pasti aku tidak akan dilihat sebagai remaja usia 16. Oleh kerana aku bukan ‘pemakan’ dalam iklim tekanan, aku dipandang sebagai bocah kecil belasan tahun (wau!). Dan, lantaran aku bukan seorang ‘pemakan’, jari-jemarikulah yang akan berperanan; menari-nari di atas papan kekunci, seumpama bocah angon dengan kambing-kambing atau lembu-lembunya, menari-nari di atas padang rumput hijau di pergunungan sejuk…

Suhu tekanan dalam dada sebaliknya tidak sesejuk suhu di pergunungan. Suhu panas tekanan ini serasa mahu ditumpah ke dalam acuan tulisan, sekalipun tulisan itu tidak semestinya menggambarkan tekanan yang dialami. Tulislah apa sahaja, akan terasa sedikit lega. Seolah-olah nafas yang sebelum ini tersekat di rongga dada, akan kembali lancar mengalir di salur nafas.

Kenapalah di dalam tenang perlu ada serabut?

Kenapalah di dalam sepi perlu ada bising?

Kenapalah di dalam gembira perlu ada nestapa?

Kenapalah di dalam bahagia perlu ada sengsara?

Kenapalah rasa ini perlu ada rasa itu?

Kenapalah rasa perlu disesaki rasa?

Kenapa?!

Aku menyelak sebuah buku, buah tangan seorang penulis muda; Setitis Embun Semarak Api tulisan Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad. Aku tertarik pada judul sebuah kandungan; ‘Tekanan Demi Tekanan Yang Memaknakan.’ Beliau memetik kembali tulisannya dalam sebuah Pengantar Menyoroti Diri dalam ‘Seketul Hati Seorang Pemimpin’;

“Saya masih yakin bahawa penekanan yang mengharu dan menggelisahkan jiwalah yang menjadi unsur yang mengilhamkan sesebuah karya.”

Saya juga terpikat pada barisan ayat ini: “Sesungguhnya penekanan juga yang membasahkan daya imaginasi dan terus menghujani daya cipta sehingga hujan lebat menimpa bumi. Tanah-tanah merekah tercantum kembali. Rumput-rumput kehijauan semula. Dan udara sekitaran terasa segar lagi nyaman; senyaman menatap wajah bayi, selunak menyentuh sutera dan selembut tubuh isteri yang tercinta.

Inilah rahsia-rahsia yang berdaya dicetuskan oleh karya-karya yang lahir daripada tekanan dan seksaan hati dan jiwa yang turut diiringi dengan kesungguhan daya cipta. Entah! Perihal ini amat subjektif. Lain lidah lain seleranya. Lain hati lain rasanya. Lain mata lain jelingannya.”

Benar. Saat setelah saya menghabiskan sebuah tulisan, hujan turun basah mencurah-curah. Tanah merekah kembali bercantum. Cacing tidak lagi kepanasan. Ayam-ayam basah kuyup bermain hujan. Mendung dan kelam dada langit telah menuang sejambak ilham.

Tekanan. Ah, benarkah nikmat dalam gelora?

Pagi di Restoran Mamak


Kuselak tirai pagi, menapak di atas dada jalan. Pagi lengang, tidak macat.

Nun di seberang jalan, ada restoran mamak. Roti canai dan teh tarik bertandang di ruang mata. Malu? Ah, pedulikan! Haruskah kantung perut yang bergendang dibiar kosong hanya kerana sepatah malu? Tidak!

“Kaki aku penat. Letih dan lemah. Baiklah berhenti minum dulu. Apa salahnya rehat sekejap. Perut aku lapar. Tekak aku haus. Aku makan aku bayar. Aku minum aku bayar. Tidak ada guna mempedulikan tentang kata-kata orang. Satu sen pun tidak guna!” Itu kata-kata Imrah dalam Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu.

Ya, tidak ada gunanya mempedulikan kata-kata orang. Tapi… siapa pula yang mahu peduli?

“Roti canai telur dan teh tarik!”

Mamak senyum, angkat ibu jari. “Siap!”

Seketika, terlupa di mana berada. Kusangka di India. Alunan lagu Hindustan berkumandang dari corong radio. Mm, sedap juga.

Teh tarik tiba. Kuah kari tiba. Roti canai tiba. Panas.

Perut yang lapar memaksa aku menghabiskan kesemuanya. Tidak ada sisa, kecuali sedikit buih-buih di dalam cawan dan baki kuah kari.

Alhamdulillah. DIA telah menyuap rezeki ke kantung perut yang kosong ini.

Alhamdulillah, ada rezeki yang melimpah-ruah sejak bermulanya pagi.

Alhamdulillah.


Saturday, March 13, 2010

Aku Ingin Menjadi Pohon


Aku ingin menjadi pohon

dirempuh angin, sabar

dicalit najis, biar.

Aku ingin menjadi pohon

melempar batu dengan buah

membalas pahit dengan manis

memberi madu pada yang mencirit najis.

Aku ingin menjadi pohon

tumbuh dengan sabar

mengakar kukuh ke dasar bumi

biar dirembat badai duga

ia terus teguh berdiri

mandiri.

13 Mac 2010,

Kuala Nerang.


Friday, March 12, 2010

Menanti Hujan

Petang yang bahang. Aku mendongak langit, mencari hujan. Ah, langit masih cerah, sekalipun guruh melaung sesekali. Awan perak kemilau di lengkung langit, petanda harapan kian suram.

Aku masih tetap menanti hujan.

Datanglah hujan, siramilah tanah hati ini.

Datanglah hujan, hanyutkan danur yang bersalut pada diri ini.

Datanglah hujan, aku menantimu, agar rintik-rintik dinginmu mampu mengusap rasa hati ini.

Datanglah hujan…!


Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com